Friday, October 16, 2009

Ilmu Tauhid

BERIMAN KEPADA ALLAH TA'ALA Fasal (*)
Fasal Pertama : Mengenal Allah dan MengEsakan-Nya Kandungan (*)

Firman Allah Taala, ertinya: Demi sesungguhnya Tuhan kamu hanya satu." (4, Surah as-Saaffaat).

Sifat-sifat Ketuhanan:

" .. dan tidak ada yang bersifat ketuhanan(1) melainkan Allah, Yang Maha Esa, lagi Yang mengatasi kekuasaan-Nya segala-galanya." (65, Surah Sad).

Ilmu Dan Martabat-martabatnya:

"Maka hendaklah engkau berusaha mendapat ilmu(2) yang meyakinkanmu: "Bahawa tidak ada yang bersifat ketuhanan melainkan Allah (19, Surah Muhammad).

" .. (kerana) sesungguhnya sangkaan (zan) tak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (i'tiqad) (36, Surah Yunus).

(1) Yang bersifat ketuhanan ialah yang terhimpun padanya dua sifat yang menjadi sebagai ibu bagi segala sifat kesempurnaan Tuhan iaitu:

Pertama - terkayanya daripada segala yang lain. tidak berhajat kepada sesuatu apapun dan

Kedua - menjadi tumpuan bagi sekalian makhluk. Yakni ia sentiasa dituju dan dihajati oleh tiap-tiap yang lain untuk memohon - sama ada dengan tutur kata atau dengan keadaan semula jadi ataupun dengan persediaan yang azali - akan segala keperluan dan kesempurnaan masing-masing
(2) Sayugia diketahui bahawa:
(a) Pendapat yang terbukti kepastian tepatnya dengan hakikat yang sebenar dinamakan ilmu.
(b) Pendapat yang buktinya memberikan kuat anggapan tepatnya dengan hakikat yang sebenar dinamakan: Zan.
(c) Pendapat yang buktinya memberikan hanya sangkaan yang lemah tentang tepatnya dengan hakikat yang sebenar dinamakan: Waham.
(d) Pendapat yang buktinya tidak memberi ketetapan adakah tepat atau tidaknya. dinamakan: Syak.
(e) Pendapat yang terbukti tidak tepatnya dengan hakikat yang sebenar dinamakan: "Jahl" (kejahilan) dan orang yang berpendapat demikian dinamakan "jahil" atau orang yang tidak berpengetahuan.

Pendapat yang pertama: Dituntut untuk akidah kepercayaan dan juga untuk hukum-hakam sedapat-dapatnya; dan pendapat yang kedua sah dipakai hanya bagi menentukan hukum hakam, tidak untuk akidah kepercayaan.

Ada pun pendapat yang ketiga; tidak harus dipakai untuk apa-apa pun, lebih-lebih lagi yang keempat.

عَنْ أَبِي مَعْبَدٍ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ حِينَ بَعَثَهُ إِلَى الْيَمَنِ إِنَّكَ سَتَأْتِي قَوْمًا أَهْلَ كِتَابٍ فَإِذَا جِئْتَهُمْ فَادْعُهُمْ إِلَى أَنْ يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ.

1- Dari Abu Ma'bad dari Ibn Abbas r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Mu'az bin Jabal ketika Baginda s.a.w mengutusnya ke negeri Yaman ".. Sebenarnya engkau akan sampai kepada suatu kaum: Ahli kitab, kemudian apabila engkau menemui mereka, maka serukanlah supaya mereka meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah ."

وَفِي رِوَايَةٍ ( فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَى أَنْ يُوَحِّدُوا اللَّهَ تَعَالَى )

Menurut satu riwayat yang lain (Baginda s.a.w. bersabda): ..."Maka hendaklah dakwah yang mula-mula engkau kemukakan kepada mereka ialah supaya mereka mengakui keEsaan Allah Taala..."

وَفِي رِوَايَةٍ ( فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ عِبَادَةُ اللَّهِ )

Dan pada satu riwayat pula, (Baginda s.a.w. bersabda) "...Maka hendaklah perkara yang mula-mula sekali engkau mengajak mereka kepadanya ialah (tunjang atau asas) ibadat kepada Allah. .."

(البخاري ومسلم)

(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang pertama ini mengandungi tentang:

(1) Islam berkembang dengan jalan dakwah.

(2) Pemilihan Baginda s.a.w. tentang orang-orang yang ditugaskan berdakwah.

(3) Dakwah Islamiah wajib disampaikan kepada umat manusia termasuk kaum Yahudi dan Nasrani.

(4) Asas agama ialah Ma'rifat Allah.

Huraiannya:

(1) Islam berkembang dengan jalan dakwah.

Islam - sebagaimana yang sedia maklum - adalah agama yang berasaskan i'tiqad atau kepercayaan mengenal perkara-perkara yang telah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya, yang wajib dipegang teguh oleh setiap penganutnya.

Untuk meresapkan sesuatu kepercayaan ke dalam hati, tak dapat tidak berkehendakkan kebijaksanaan dan cara yang sebaik-baiknya dalam masa menjalankan dakwah dengan memberi penerangan yang jelas dan berkesan, sesuai dengan keadaan zaman dan keadaan orang-orang yang ditujukan dakwah Islamiah itu kepadanya.

Aqidah kepercayaan tidak akan dapat dimasukkan ke dalam jiwa seseorang dengan jalan kekerasan atau paksaan dan Islam tidak dikira sah jika seseorang itu pura-pura Islam pada zahirnya sedang hatinya kosong dari aqidah kepercayaan yang diakui dan diyakininya.

Dengan itu nyatalah tidak benarnya orang-orang yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah menyebarkan Islam dengan pedang kerana kuasa pedang tidak dapat memasukkan kepercayaan ke dalam hati seseorang. Peperangan Jihad yang pernah dilancarkan oleh Baginda s.a.w. adalah untuk membela Islam dan umat Islam dari pencerobohan musuh.

(2) Pemilihan Baginda s.a.w. tentang orang-orang yang ditugaskan berdakwah.

Dakwah adalah satu tugas yang penting dalam Islam kerana kepadanyalah bergantung maju mundurnya perkembangan Islam. Oleh itu maka pihak yang berkuasa bertanggungjawab melantik orang-orang yang layak menjayakannya.

Rasulullah s.a.w. telah melantik orang-orang yang menjalankan tugas ini dari kalangan guru-guru agama, pegawai-pegawai daerah dan lain-lainnya. Di antaranya ialah Mu'az bin Jabal yang tersebut perihalnya dalam hadis ini.

Mu'az diutuskan oleh Baginda s.a.w. ke negeri Yaman pada tahun yang kesepuluh hijrah - sebelum daripada Baginda berangkat ke Mekah untuk menunaikan "Haji Wadaa".

Mu'az dipilih oleh Baginda s.a.w. menjalankan tugas dakwah Islamiah di negeri Yaman bukan sahaja kerana kelayakannya sebagai seorang ahli agama yang pengetahuannya mendalam tentang Islam tetapi juga kerana ia berasal dari Yaman yang mengetahui selok belok negeri itu dan tabiat serta adat resam penduduknya.

Mu'az ditugaskan menjalankan dakwah kepada sekalian penduduk daerah Yaman yang masih belum Islam dan oleh kerana di antaranya golongan ahli kitab (kaum Yahudi) yang pada umumnya berilmu pengetahuan, maka Baginda s.a.w. mengingatkan Mu'az supaya ia bersedia menghadapi mereka dengan cara yang lain dari cara menghadapi orang-orang yang tidak berilmu pengetahuan.

(3) Dakwah Islamlah wajib disampaikan kepada umat manusia termasuk kaum Yahudi dan Nasrani.

Nabi Muhammad s.a.w. diutus oleh Allah Taala kepada umat manusia seluruhnya. Tiap-tiap seorang yang hidup dalam zaman Baginda s.a.w. atau yang datang kemudian, sama ada ia Yahudi, atau Nasrani, atau penyembah berhala atau lain-lainnya, wajib beriman kepada Baginda s.a.w. dan menerima agama Islam yang dibawanya.

Tiap-tiap seseorang tidak sah imannya kepada Allah Taala selagi ia tidak beriman kepada sekalian Rasul-Nya - mulai dari Nabi Adam hinggalah kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Kaum Yahudi dan Nasrani yang dipanggil dengan nama "Ahli Kitab" (pengikut kitab-kitab Taurat dan Injil), bukan sahaja telah mengubah dan merosakkan ajaran kitab-kitab mereka tetapi telah menyeleweng dari i'tiqad Tauhid yang sebenar.

Mereka mendakwa bahawa mereka beribadat kepada. Allah Taala, tetapi "Allah" menurut fahaman mereka yang telah rosak itu hanyalah nama sahaja bukanlah Allah yang bersifat dengan sifat-sifat yang diterangkan oleh Allah sendiri di dalam al-Qur'an dan diterangkan oleh rasul-Nya. Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan itu.

(4) Asas agama ialah Ma'rifat Allah.

Islam ialah agama ciptaan Allah yang diturunkan melalui Rasul-rasulnya yang diakhiri dengan Nabi Muhammad s.a.w. untuk keselamatan dan kebahagiaan umat manusia di dunia dan di akhirat.

Dalam agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w terkandung hukum-hukum dan amalan-amalan meliputi segala bidang hidup, dari perkara yang sebesar-besarnya hingga kepada yang sekecil-kecilnya dan semuanya itu bergantung kepada satu asas yang penting - "Marifat Allah", iaitu mengenal Allah Subhanahuwataala dan mengakui keEsaanNya.

Hakikat ini telah disimpulkan oleh ulama Tauhid dalam kalimah "Awalud Din Ma'rifat Allah" (asas agama ialah mengenal Allah), iaitu intisari dari maksud hadis yang kami sebutkan dalam bab ini.

Jelasnya, sebagaimana sesebuah bangunan bergantung kepada asasnya tentang teguh kukuh atau tidaknya, maka demikianlah pula halnya "Ma'rifat Allah" itu, tiap-tiap seorang wajib memahaminya supaya meresap dan sebati dalam jiwanya sehingga menjadi satu keyakinan yang dapat mempengaruhi seluruh perasaan dan gerak langkahnya untuk memikul tanggungjawab menjalankan hukum-hukum Islam dan amalannya.

Sekiranya asas Ma'rifat ini tidak kukuh dan hanya dalam peringkat sangkaan semata-mata, maka inilah sebabnya seseorang itu tidak merasa bertanggungjawab dalam menjalankan hukum-hukum dan amalan yang tersebut dengan sepenuhnya.

Ma'rifat Allah wajib pada syarak dan juga wajib pada akal.

Tiap-tiap seorang manusia apakala ia lahir ke alam wujud ini, ia akan dapat menerima berbagai-bagai nikmat yang tidak terhitung.

Di antaranya ialah tubuh badannya dilengkapkan dengan nikmat-nikmat yang tidak ternilai seperti mata, telinga dan lain-lainnya yang tidak dapat diberi oleh sesiapa pun dari kalangan manusia sendiri atau makhluk-makhluk yang lain

Maka tidaklah patut bagi orang yang menerima nikmat itu kalau ia tidak mahu mengenal siapakah pemberinya dan tidak mahu bersyukur akan pemberian yang sangat-sangat berharga itu.

Sikap yang demikian, tak dapat disangkal lagi tentang tidak patutnya kalau difikirkan oleh orang-orang yang berakal siuman yang menggunakan akalnya dengan jujur. Lebih-lebih lagi tidak patut kalau orang itu menggunakan nikmat pada bukan tempatnya dan ia pula menentang serta menderhaka kepada yang melimpahkan nikmat itu kepadanya. Kerana sikap yang demikian menggambarkan ketiadaan peri kemanusiaan.

Allah Taala Yang Maha Pemurah, lagi Amat Mengasihani, yang melimpahkan nikmat-nikmat-Nya yang tidak terhitung kepada sekalian makhluk, telah mengingatkan manusia supaya mengenal-Nya dan mengakui keEsaanNya, dengan firmanNya : فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُyang maksudnya memerintahkan manusia supaya masing-masing berusaha mencari jalan mengenal-Nya dengan sepenuh-penuh yakin, kerana Dialah Pencipta manusia dan alam seluruhnya, dan Dialah juga yang mengurniakan segala nikmat yang mereka gunakan dalam alam kehidupan ini.

Dengan ini jelaslah bahawa "Ma'rifat Allah" (mengenal Allah) itu hukumnya wajib pada syarak sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Taala dan juga diakui wajibnya oleh akal yang siuman.

Sesiapa yang tidak mahu mengambil berat mengenal Allah, sedang ia sentiasa menggunakan nikmat-nikmat pemberian-Nya maka sikapnya yang demikian adalah bertentangan dengan "Fitrah insaniah" (keaslian perikemanusiaannya) dan melanggar perintah Allah Taala serta mencuaikan kegunaan akalnya sendiri.

Jalan yang menyampaikan kepada ma'rifat.

Cara mengenal sesuatu sudah tentu dengan jalan mengenal sifat-sifatNya. Maka demikianlah pula cara mengenal Allah Taala, yang wajib al Wujud, tak dapat tidak dengan jalan mengenal sifat-sifat-Nya. Tetapi sifat-sifat Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Kuasa itu tidak dapat dicapai dengan pancaindera, hanya dapat diyakini dari kesan sifat-sifatnya yang ternyata pada kejadian-kejadian alam yang diciptakan-Nya.

Meskipun manusia dilengkapkan dengan akal untuk memikir dan menimbang apa yang diperhati dan ditelitinya dari kejadian-kejadian alam yang tercipta dengan indah dan teratur, bahkan manusia disuruh berbuat demikian untuk kebaikan dan keselamatan dirinya di dunia dan di akhirat, tetapi akal manusia itu adalah terbatas setakat perkara-perkara dan benda-benda yang ada dalam alam nyata yang dapat dicapai oleh pancaindera dan alat-alatnya sahaja. Maka dengan keadaannya yang demikian, sudah tentu ia tidak dapat memikirkan sama sekali tentang zat Allah Taala yang bukannya dari jenis-jenis benda dan tidak ada sesuatu pun yang menyamaiNya.

Oleh sebab itulah junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. yang diutus oleh Allah Taala untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar, telah menerangkan tentang cara menggunakan fikiran untuk "mengenal Allah" dalam beberapa hadis yang diriwayatkan oleh tiga orang sahabat Baginda s.a.w. iaitu Ibn Abbas, Abu Zar dan Ibn Umar r.a.

Muaz bin Jabal r.a

Kelahiran dan kehidupan beliau:
- Muaz bin Jabal r.a dilahirkan di Madinah.
- Muaz r.a mempunyai ciri-ciri keistimewaan sebagai seorang yang sangat pintar, mempunyai penampilan sebagai seorang yang perkasa dan berhemah tinggi. Allah mengurniakan kepada beliau kepetahan bercakap, mempunyai rupa paras dan tutur kata yang indah.
- Muaz bin Jabal r.a memeluk Islam sejak beliau masih kecil melalui Mus'ab bin Umair yang diutuskan oleh Rasulullah s.a.w ke Madinah untuk mengajar penduduk Madinah.


Berbaiah dengan Nabi:
- Muaz r.a termasuk di dalam rombongan yang berjumlah seramai 72 orang Madinah yang datang berbaiah dengan Nabi s.a.w.
- Sebaik sahaja selesai berbaiah, Muaz kembali ke Madinah sebagai seorang pendakwah Islam di dalam masyarakat Madinah. Beliau berjaya mengislamkan beberapa orang sahabat yang terkemuka seperti: Amru bin Al-Jamuh.


Sifat terpuji beliau:
- Sebaik sahaja Nabi s.a.w berhijrah ke Madinah, Muaz sentiasa berada bersama dengan Rasulullah s.a.w sehingga beliau dapat memahami Al-Quran dan syariat-syariat Islam dengan baik menyebabkan beliau muncul sebagai seorang yang paling alim tentang Al-Quran dari kalangan para sahabat, orang yang paling baik membaca Al-Quran serta paling memahami syariat-syariat Allah.
- Oleh sebab itulah Rasulullah s.a.w memuji beliau dengan bersabda: ???? ???? ??????? ??????? ???? ?? ???
Yang bermaksud: Umatku yang paling alim tentang halal dan haram ialah Muaz bin Jabal. Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah.
- Muaz r.a terdiri dari kalangan enam orang yang mengumpulkan Al-Quran pada zaman Rasulullah s.a.w.
- Setelah Allah s.w.t membuka Kota Mekah kepada Rasulullah s.a.w, penduduk Mekah memerlukan kepada tenaga pengajar yang tetap tinggal bersama dengan mereka untuk mengajar syariat Allah s.w.t, lalu Rasulullah s.a.w meminta supaya Muaz tinggal bersama dengan penduduk Mekah untuk mengajar Al-Quran dan memberikan kefahaman kepada mereka mengenai agama Allah s.w.t.
- Sifat terpuji beliau juga jelas terserlah ketika rombongan raja-raja Yaman datang berjumpa Rasulullah s.a.w mengisytiharkan keislaman mereka dan meminta daripada Rasulullah s.a.w supaya menghantar tenaga pengajar kepada mereka. Lalu baginda memilih Muaz r.a untuk memegang tugas tersebut bersama-sama dengan beberapa orang para sahabat malah beliau merupakan ketua kepada rombongan para sahabat tersebut. Rasulullah s.a.w keluar untuk mengucapkan selamat jalan kepada mereka lantas baginda mewasiatkan kepada Muaz r.a dengan bersabda: "Wahai Muaz! Kemungkinan kamu tidak akan dapat bertemu lagi dengan aku selepas tahun ini malah mungkin juga selepas ini kamu akan melalui masjid dan kuburku ..." Lantas Muaz r.a menangis kerana terlalu sedih untuk berpisah dengan Rasulullah s.a.w. Selepas peristiwa tersebut ternyata Rasulullah s.a.w wafat dan Muaz tidak lagi dapat melihat baginda.
- Setelah Muaz r.a kembali ke Madinah, beliau mendapati Rasulullah s.a.w telah meninggal dunia. Peristiwa tersebut tidak dapat ditanggung oleh Muaz menyebabkan beliau menangis tersedu-sedu di atas kehilangan Rasulullah s.a.w.
- Setelah Umar bin Al-Khattab r.a dilantik menjadi khalifah, beliau mengutuskan Muaz untuk mendamaikan pertelingkahan yang berlaku di kalangan Bani Kilab.


Keberangkatan Muaz ke Syam untuk mengajar Al-Quran:
- Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar r.a juga berlaku peristiwa di mana gabenor Syam telah menghantar Yazid bin Abi Sufian meminta daripada Umar r.a supaya menghantar seorang tenaga pengajar kepada penduduk Syam. Lalu Umar memanggil Muaz bin Jabal, Ubadah bin As-Somit, Abu Ayub Al-Ansariy, Ubai bin Kaab dan Abu Darda' dalam satu majlis. Khalifah Umar berkata kepada mereka: "Sesungguhnya saudara kamu di negeri Syam telah meminta bantuan daripada aku supaya menghantar sesiapa sahaja yang boleh mengajar Al-Quran kepada mereka dan memberikan kefahaman kepada mereka tentang agama Islam. Oleh yang demikian bantulah aku untuk mendapat tiga orang dari kalangan kamu semoga Allah merahmati kamu. Sekiranya kamu ingin membuat pengundian, kamu bolehlah membuat undian, jika tidak aku akan melantik tiga orang dari kalangan kamu".
- Lalu mereka menjawab: "Kami tidak akan membuat pengundian memandangkan Abu Ayub telah terlalu tua manakala Ubai pula sentiasa mengalami kesakitan dan yang tinggal hanya kami bertiga sahaja". Kemudian Umar berkata kepada mereka: "Kamu mulakanlah tugas kamu di Hims, sekiranya kamu suka dengan keadaan penduduknya, bolehlah salah seorang daripada kamu tinggal di sana. Kemudian salah seorang daripada kamu pula hendaklah pergi ke Damsyik dan seorang lagi pergi ke Palestin". Lalu mereka bertiga keluar ke Hims dan mereka meninggalkan Ubadah bin As-Somit di sana, Abu Darda' pergi ke Damsyik manakala Muaz bin Jabal pula terus berlalu pergi ke Palestin.


Kematian beliau:
Muaz bin Jabal berada di Palestin sehinggalah beliau diserang wabak. Ketika hampir mati beliau berkata: "Selamat datang wahai kematian! Selamat datang kepada tetamu yang tak kunjung tiba dan selamat datang kepada kekasih yang datang setelah sekian lama dirindukan!". Kemudian beliau melihat ke langit dan berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku tidak menyukai dunia apatah lagi untuk berada kekal di dalamnya selama-lamanya menanam pokok-pokok dan mengairi sungai, tetapi segala-galanya itu hanyalah sekadar untuk menghilangkan kehausan di kawasan-kawasan yang kekeringan serta mengharungi saat-saat kesusahan dan mendekati ulama-ulama dengan menunggang ke majlis-majlis zikir. Oleh yang demikian terimalah diriku ini wahai Tuhanku dengan kebaikan sebagaimana Kamu menerima diri seseorang yang beriman". Kemudian beliau meninggal dunia. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya kepada beliau.

Hadith for today

Daripada Abu Darda' r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tiada tiga orang pun yang berada dalam suatu kampung atau suatu desa yang di kalangan mereka tidak didirikan solat (berjamaah), melainkan syaitan telah dapat memenangkan mereka itu. Maka dari itu, hendaklah kamu semua tetap menjaga berjemaah, sebab hanyasanya serigala itu dapat makan dari kambing yang jauh (yakni yang terpencil dari kawanannya). "

Diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dengan isnad hasan.

Daripada Usman r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Barangsiapa yang mengerjakan solat Isya' dengan berjemaah, maka seolah-olah ia mendirikan solat separuh malam dan barangsiapa yang mengerjakan solat Subuh dengan berjemaah, maka seolah-olah ia mendirikan shalat semalam suntuk."

(Riwayat Muslim)

Daripada Abu Hurairah r.a. pula katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tidak ada suatu solat pun yang lebih berat dirasakan oleh orang-orang munafik itu daripada solat Subuh dan Isya', tetapi andaikata mereka mengetahui betapa besar pahalanya kedua solat itu, nescaya mereka akan mendatanginya sekalipun dengan berjalan merangkak (ke tempat berjemaahnya) ."

(Muttafaq 'alaih)

Daripada Ibnu Mas'ud r.a., katanya, "Saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Manakah amalan yang lebih utama?"Beliau s.a.w. menjawab: "Iaitu solat tepat pada waktunya."Saya bertanya lagi, "Kemudian amalan apakah?"Beliau s.a.w. menjawab: "Berbakti kepada kedua orang tua."Saya bertanya pula, "Kemudian apa lagi?"Beliau s.a.w. menjawab: "Iaitu berjihad fi-sabilillah. "

(Muttafaq 'alaih)

Kalam Mu Ya Hayyu Ya Qayyum...

Hayatilah manusia ciptaan Allah SWT...

Arahan Bernas mu Ya Rasulullah SAW...