Saturday, January 16, 2010

SELEPAS SAIDINA HAMZAH MEMELUK ISLAM

Hamzah pulang ke rumah untuk berehat dan berfikir. Beliau berkata kepada dirinya, "aku mengatakan bahawa aku telah menganut agama Muhammad sewaktu marahkan Abu Jahal. Benarkah aku telah Islam? Adakah aku mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Muhammad bagi melengkapkan keislamanku? Kenapa aku mengisytiharkan keislamanku begitu cepat, sedangkan tidak ada seorang pun di kalangan saudaraku yang telah memeluk Islam?"

Hamzah menghabiskan waktu malamnya dengan memikirkan penyeksaan dan kesengsaraan yang bakal diterimanya.

Hamzah menceritakan, "Apabila aku berada di pihak Muhammad, aku membayangkan kesusahan besar akan menimpaku kerana meninggalkan agama nenek moyangku. Pada waktu subuh, aku menghalakan tubuhku ke arah kiblat. Aku mendongak ke langit, memohon agar kebenaran dan keyakinan diilhamkan kepadaku. Kemudian aku berasa seolah-olah suatu cahaya terpancar dari hatiku lalu menyinari dunia di hadapanku. Aku mendapat satu keyakinan. Dengan gembira, aku pergi menemui Muhammad lalu mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapannya."

Mulai hari itu seorang bapa saudara Rasulullah yang digeruni oleh kaum Quraisy dengan rasminya menganut Islam. Pengislaman Hamzah benar-benar menyokong dakwah Rasulullah. Ia memberi pukulan yang hebat kepada orang-oranf kafir sebagaimana peristiwa Umar b. Al-Khatab memeluk Islam pada permulaan dakwah Rasulullah.

Selepas peristiwa yang bersejarah itu, umat Islam mula berani. Mereka keluar dalam dua barisan menuju ke Kaabah. Umar al-Khatab berjalan di barisan hadapan sementara Hamzah di barisan belakang. Kejadian tersebut benar-benar memeranjatkan dan mencabut rasa bangga diri dari hati orang-orang Quraisy. Rasulullah s.a.w. yang sebelum itu bimbang melihatkan orang-orang Islam pergi ke Kaabah secara terang-terangan seolah-olah mendapat kekuatan baru untuk terus memperjuangkan Islam. Pengislaman Umar dan Hamzah telah menyemarakkan semangat baginda.

No comments:

Post a Comment

Kalam Mu Ya Hayyu Ya Qayyum...

Hayatilah manusia ciptaan Allah SWT...

Arahan Bernas mu Ya Rasulullah SAW...